BERSYUKURLAH…

Assalamualaikum….

Edeh… agak lama jugalah kan tiada kena update cerita merepek si Pika di sini. Start awal tahun sampailah mau hampir pertengahan tahun sudah , masuk bulan puasa sudah lagi hakhakhak. Bukan sibuk, bukan juga malas tapi tiada mood mahu bercerita.

So berdasarkan tajuk di atas alhamdulillah syukur umur kita masih dipanjangkan Allah untuk sampai di bulan yang mulia ini… sekali lagi Allah beri kesempatan untuk kumpul pahala banyak-banyak dan mungkin juga untuk sesetengah orang ini titik permulaan untuk berubah menjadi lebih baik in sya Allah.

Tapi bukan itu yang aku mahu cerita hari ini. Ada satu benda yang kita nampak macam remeh, tapi sebenarnya penting malah kadang nyawa yang menjadi taruhan kerana tiadanya benda itu. Apa dia?

KERAKYATAN. Ya…kad biru yang ada muka kita tu. Bersyukurlah sebab kalian ada benda tu, tidak kiralah rakyat negara mana pun, bersyukurlah kalian sebab ada kerakyatan.

Kenapa baru sekarang aku sedar benda ni? Post aku sebelum ni aku ada ceritakan aku sedang attachment dekat satu klinik di Semporna?  Yup Semporna, satu daerah yang terletak di Pantai Timur Sabah. Semporna yang terkenal di kalangan pelancong sebab dikelilingi dengan Pulau-pulau yang menarik namun kehidupan penduduknya tidaklah seindah pulau-pulau yang menjadi tarikan pelancong dari luar mahupun dalam negara itu.

Kenapa aku cakap begitu? Majoriti penduduk di dearah Semporna ni terdiri daripada kaum bajau asli, bajau laut dan suluk. Bajau asli ni kaum bajau yang hidup secara tetap. Diorang ada dokumen dan keterangan yang sah. Tapi jangan salah faham ya, Bajau Semporna tidak sama dengan Bajau-Sama dari daerah lain macam Kota Belud, Kota Marudu, Tuaran dan Putatan.

Dan Bajau laut pulak di kenali sebagai Pala’u. Kaum inilah yang tidak mempunyai keterangan yang sah walaupun hidup diorang macam bajau asli, iaitu hidup bermasyarakat, bertutur dalam bahasa sama tetapi kehidupan diorang berbeza. Bajau laut tinggal di perahu atau bot yang dipanggil Lepa. Kadang masih ada yang masih mengamalkan kegiatan pertukaran barang dengan masyarakat bajau asli (Sistem barter gais ). Contohnya diorang bertukar ikan dengan beras dan begitu seterusnya. Sedihnya kehidupan diorang sebab tergantung diantara dua negara, Malaysia dan Filipina.tiada yang mahu mengambil diorang menjadi rakyat kerana mereka hidup di tengah-tengah perairan. Lari ke Malaysia tidak diterima, lari ke Filipina juga tidak diterima.

Ada satu lagi kaum yang dapat nasib yang sama macam Bajau Laut iaitu kaum Suluk. Suluk ni  pula telah pun mendiami dearah Semporna sejak sekian lama dahulu. Kebanyakan diorang datang ke negara ini sebagai pendatang asing. Ada juga yang  sudah mendapat keterangan yang sah tapi mejoritinya diorang tiada dokumen yang sah. Diorang mendirikan rumah-rumah di kawasan pendalaman untuk mengelakan diri daripada pihak berkuasa. Kebanyakan dari diorang ni menjadi pekebun, peniaga kecil dan perkerja kontrek bangunan.

Panjang cerita pasal kaum di Semporna ni kan. Jadi apa yang buat aku terkesan dengan diorang ni?

Gais, kalau korang sakit selsema, batuk dan demam sikit korang prefer pergi Klinik Kesihatan Kerajaan atau Klini Swasta? Kalau aku, lebih pilih pergi Klinik Kesihatan Kerajaan ataupun Klinik 1 Malaysia tu. Tidak kisah kena tunggu lama sebab aku hanya perlu bayar RM1 dan aku dapat ubat yang aku perlukan. Tiga jenis ubat hanya dengan RM1. Tapi berbeza dengan diorang yang tiada kad biru tersebut, klinik-klinik swasta ni lah yang jadi pilihan utama diorang. Sakit yang sama, ubat yang sama tapi diorang perlu bayar paling kurang pun RM20 untuk dapat ubat yang sama dengan ubat yang aku boleh dapat RM1 sahaja di klinik kerajaan. Tapi apa lagi pilihan yang diorang ada? Itulah pilihan pertama kerana hospital atau klinik kerajaan akan jadi pilihan terakhir, berbeza dengan kita yang ada kad biru itu. Bagi diorang itu sudah cukup murah berbanding bil yang diorang perlu bayar kalau pergi hospital atau klinik kerajaan yang boleh mencecah ratusan ringgit. Baru pendaftaran saja sudah beberapa puluh ringgit, belum termasuk ujian-ujian yang perlu dibuat untuk sahkan penyakit yang diorang hidap.

Sebab itu diorang lebih memilih klinik swasta walaupun keadaan masa tu sudah di tahap kecemasan yang hanya boleh dirawat di hospital bukannya klinik swasta yang fasilitinya masih banyak yang kurang. Bukan sikit yang datang merayu minta dirawat di klinik ini sahaja walaupun keadaan sudah kritikal dan bukan juga kami tidak simpati, tidak mahu tolong, tapi kami sendiri kekurangan bahan dan kemudahan. Klinik swasta kot mana ada tempat untuk resus, pembedahan dan wad. Treatment room yang ada tiga katil dan itu pun sudah cukup bersyukur. Nasib jugalah klinik tempat attachment aku ni ada lebih sikit kemudahan dia, boleh periksa darah ( FBC stat), ada X-ray, ada ECG, Nebulizer, bantuan Oksigen dan boleh gantung air (IV Drip). Tapi bila keadaan memang kritikal akhirnya diorang tiada pilihan lain selain akur untuk dirujuk ke hospital. Tapi untuk akur itu pun perlu ambil tempoh masa yang lama sampaikan patient yang tadinya masih stabil tiba-tiba boleh change condition.

Mahu aku cerita satu persatu kisah yang datang?

Seorang ibu yang baru melahirkan anak di rumah, datang sebab uri tertinggal di dalam. Katanya sedikit saja, hanya cebisan-cebisan. Itu yang dia cakap. Walau sudah berkali-kali ditolak supaya pergi ke hospital tapi diorang masih berkeras mahu buat di klinik itu juga. Akhirnya doktor simpati dan terima juga pesakit itu, sedangkan kita tahu risikonya. Macam mana kalau yang tersekat itu bukan cebisan tetapi sebahagian besar uri? Macam mana kalau pendarahan tidak berhenti dan perlu transfusi darah? Sedangkan klinik kami tiada injection untuk kecutkan rahim seperti yang selalu diberi kepada ibu-ibu selepas bersalin di hospital swasta untuk memudahkan mengeluarkan uri. Dan iya mereka bohong, bukan cebisan yang tertinggal tapi memang sebahagian besar uri. Bukan sekali datang pesakit seperti ini, sudah berkali-kali dan setiap kali itu juga doktor kami cuba menolak. Tapi diorang lebih keras kepala. Dan alhamdulillah buat kali yang berkali-kali itu Allah masih mempermudahkan semuanya, masih memberi pertolongan sampaikan si ibu boleh pulang dengan selamat. Ya selamat Cuma dari klinik ini, bila tiba di rumah kita tidak tahu komplikasi apa lagi yang terjadi. Setiap kali itu aku hanya mampu berdoa dalam hati supaya ibu-ibu itu baik-baik saja, aku tahu doktor dan staf lain juga berdoa benda yang sama.

Itu baru kisah ibu. Ada kisah tentang bayi yang baru lahir juga. Yang lahirnya 4 hari lepas. Lahir di rumah. Hari keempat datang ke klinik dengan satu badan sudah berwarna kuning. Aku yang baru keluar ke kaunter untuk hantar casenote tiba-tiba disapa makcik yang mengendong bayi kecil.

“nurse boleh kasih deluan kah kami. Nah lain sudah dia ni nda sudah menangis”

Aku sudah tidak sedap hati. Cepat-cepat aku ambil pulse oximeter dan keluar dari kaunter untuk tengok baby tu. Baru sekali pandang aku sudah mengucap dalam hati.

“makcik bila lagi dia begini ni?” aku tanya.

“baru saja nurse, tadi dia nangis lagi ni masa sampai. Nah kau tengok sendiri lain sudah. Itulah aku minta kasih cepat kami nurse” desaknya.

Aku terdiam. Berfikir mahu cakap apa. Sebab dari sekali pandang saja aku tahu baby tu tidak bernyawa sudah. Aku panggil kawan aku, dia pun terkedu sekejap. Akhirnya cepat-cepat kami bawa baby tu masuk treatment room dan panggil doktor. Dan ya bila doktor tengok saja dia tahu sudah terlambat. Baby tu kuning satu badan dari kepala sampai kaki, sudah sejuk, sudah keras. Neonatal jaundice sejak empat hari yang lalu,tidak dirawat. Kau expect apa lagi kalau sudah sejak empat hari keadaan dia begitu. Neonatal Jaundice yang tidak dirawat, tidak dipantau, develop jadi hyperbilirubinemia, jaundice encelopathy dan akhirnya meninggal. Bila ditanya tinggal di mana, mereka dari pulau pastilah tiada apa yang dapat dibuat di sana. Hanya menunggu saudara yang tinggal di pekan untuk menghubungi bertanya khabar dan membawa ke klinik. Dan bila tiba disini juga sudah terlambat. Rasa geram juga dengan yang jaga kaunter pendaftaran, kalau lah peka sikit dengan condition baby tu masa dia masih menangis tadi mungkin sempat hantar pergi kecemasan yang jaraknya Cuma 500meter dari klinik kami. Tapi bila fikir balik, kalau pun sempat sampai kecemasan, mampukan baby tu bertahan lagi? Mampukah dia di’resus? Akhirnya aku akur, itu semua sudah takdir.

Jika itu cerita pasal bayi, kini cerita pasal pakcik tua. Pakcik tua yang dibawa anak perempuan dan adiknya. Pakcik yang datang dengan sesak nafas. Bila diperiksa kandungan oksigen dalam badannya, paling tinggi pun dapat 67% something, aku tidak ingat sangat. Bagi neb, lepas bagi neb bagi oksigen dan paling tinggi pun klinik kami dapat bagi  10L guna facemask. Sudah bagi pakai facemask pun paling tinggi oksigen dia boleh naik sampai 94% dan makin lama makin drop. Aku tidak ingat sudah apa history dia sebelum-sebelum itu. Bukan sekali doktor pujuk suruh bawa pergi kecemasan. Tapi pesakit sendiri degil. Adik dan anak dia sudah setuju tapi payahnya pula mahu pujuk pakcik tu. Mungkin adik dan anak dia tidak berkira sudah tentang duit yang penting nyawa pakcik dapat diselamatkan. Tapi mungkin pakcik itu sendiri yang merasa dirinya masih mampu bertahan dan tidak perlulah bazirkan wang yang bukan sedikit jumlahnya itu untuk merawat dia. Atau memang dia sudah tahu waktunya sudah tidak lama dan sia-sia saja untuk membelanjakan duit yang banyak kalau akhirnya nanti dia akan pergi juga. Dari jam 10 malam doktor cuba pujuk sampailah hampir 3 pagi. Barulah diorang mahu pergi. Tapi bila doktor cek anak mata dia sebelum pergi tu hmp. Pupil sudah dilate. Dan esoknya bila doktor call kawan dia yang bertugas di kecemasan untuk tanya pasal pakcik tu, dia sendiri sudah dapat duga apa jawapan kawan dia. Expired. Pakcik tu sudah meninggal.

Pernah lagi datang, budak lelaki umur 16 tahun, tinggal di pulau. Datang kerana kakinya luka terkena ekor pari. Ditanya sejak bila? 10 hari yang lalu. Ditanya lagi kenapa baru hari ini datang ke klinik?

‘sebelum ni ok sudah dia. Boleh lagi dia main bola. Tapi hari ni kesakitan sudah dia betul. Nda berhenti darah’

Bila lukanya diperiksa hmm… Non-stop bleeding. Punca pendarahan cuba kami cari, tapi bila dibelek lukanya ada pancutan darah, cepat-cepat kami tutup semula guna gauze. Mungkin ada salur darah arteri yang terkena. Kami cuba compress guna adrenalin pun masih berdarah. Berapa kali berganti gauze yang sudah lecun dengan darah. Bila ditanya ada demam tidak? Ya ada. Sah sudah dijangkiti kuman. Muka si adik sudah pucat, tekanan darah rendah dan kadar nadi laju.

Ujian darah diambil dan betul sangkaan semua, hemoglobin dia rendah, seingat aku macam 6.++ sahaja. Peratusan white blood count dia tinggi. Ada dua komplikasi yang boleh jadi, hypovolumic shock atau septicaemia. Bayangkan kalau di klinik saja pun darahnya tidak berhenti mengalir keluar inikan lagi 10 hari yang lalu. Sudah berapa banyak darah yang dia hilang?

Doktor cakap dengan keluarganya supaya bawa ke hospital cepat. Luka sebegini kami tidak boleh buat di klinik ini. Nanti kata makciknya, tanya ibu budak itu yang tinggal di pulau dahulu. 10 minit belum bagi kata putus. Doktor sudah berulang alik dari bilik konsultasi ke bilik rawatan untuk tunggu keputusan, surat rujukkan sudah ditulis siap-siap. Hampir 1 jam belum lagi ada kata putus. Sedangkan si adik makin lemah. Akhirnya lepas sejam lebih baru sekeluarga itu bersetuju mahu ke hospital.

Sudah dinaikkan ke kerusi roda dan bila tiba di pintu bilik rawatan tiba-tiba diorang berhenti. Ada seorang pakcik tua pakai kopiah bacakan sesuatu di telinga adik itu, macam sedang menjampi, entah aku pun tak tau apa dia buat. Bila aku dekat aku nampak mata adik tu sudah naik ke atas, air liur keluar dari tepi mulut. Ok fine belum sampai hospital dia sudah kena sawan 🤦‍♀️. Laju aku panggil kawan sekerja.

‘kenapa? ‘

‘sawan ni… Macam mana ni? ‘

‘aishh yaaa sawan sudah… Pakcik cepat-cepat lah kamu bawa dia pergi hospital, sawan sudah dia ni. Cepat bawa sekarang’

Barulah diorang bergegas bawa pergi hospital. Mahu teruskan rawatan di klinik kami? Diazepam (ubat untuk sawan) pun kami tiada.

Kesian bukan? Berjam-jam di klinik ini, bila sudah mahu pergi hospital diserang sawan pula. Kalau pergi lebih awal mungkin tidak seteruk ini. Mahu menyalahkan keluargnya juga tidak boleh. Bukan sedikit pertimbangan yang diorang harus buat. Ya kita senang cakap, pergilah hospital dulu duit tu belakang kira, nyawa lebih penting. Tapi macam mana pula kalau duit diorang memang betul-betul tidak mencukupi? Betul-betul tiada.

Begitu lah cerita untuk seorang lagi pakcik yang datang. Luka di kaki, besar. Katanya terkena zink masa kerja. Memang perlu dijahit. Tapi bila dia tahu kosnya berapa dia menolak. Cuci dan balut sahaja katanya. Biar sembuh sendiri. Dia perlu berjimat. Isterinya sekarang di hospital sedang menunggu untuk bersalin dan dia perlu bayar RM3+++ untuk biaya hospital isterinya. Yang itu pun belum dapat dia cukupkan, tidak tahu lagi mahu mencari dimana. Demi kesihatan dan keselamatan isteri dan anak yang bakal lahir dia berjimat, biarlah dia luka, cedera tidak terawat asalkan isteri dan anaknya selamat. Walaupun beza beberapa puluh ringgit saja tapi jumlahnya masih besar pada dia.

Kawan aku yang attend pakcik ni. Dia yang dengar cerita pakcik tu rasa macam mahu berlari naik bilik ambil duit untuk bantu pakcik tu. Tapi kami juga terikat dengan peraturan klinik. Mana boleh kami buat sesuka hati. Akhirnya pakcik pulang tanpa dijahit lukanya.

Begitulah pesakit-pesakit yang kami jumpa seharian. Masing-masing dengan kisah sendiri. Ada yang datang mengadu pening-pening dan sakit kepala. Bila diperiksa tekanan darahnya hmm… tinggi yang tiada komprominya. Ada juga yang bila diperiksa gula dalam darah ya Rabbi… lebih dari takat yang mampu diterima. Ditanya makan ubat tidak makcik/pakcik? Makan katanya tapi lama dahulu. Terputus bekalan sebab tinggal jauh di pulau atau pun tidak punya duit yang cukup untuk beli bekalan ubat yang wajib dimakan setiap hari. Kalau pesakit yang ada kad pengenalan datang klinik kerajaan dengan keadaan begini doktor-doktor dan staff nurse dekat klinik kerajaan tu membebel sudah marah pakcik/makcik ni. Tapi disini, di klinik swasta ini dengan situasi pesakit yang begitu, mahu marah pun tidak mampu. Simpati yang lebih besar rasanya. Kadang doktor sendiri terdiam bila mendapat jawapan sebegitu. Apa lagi yang mampu kami buat?

Tiga bulan berkerja di sini betul-betul buka mata aku untuk hargai dan syukuri semua kemudahan yang aku dapat menjadi warganegara di Malaysia. Jangan bandingkan kemudahan dan teknologi negara lain yang jauh lebih kondusif dan maju. Tapi bandingkan diri kita yang mendapat semua kemudahan ini dengan senang berbanding mereka yang perlu bersusah payah dahulu untuk menumpang kemudahan itu.

Dengan bayaran RM1 macam-macam jenis ubat dan rawatan yang boleh kita dapat berbanding dengan mereka yang harus bayar berpuluh-puluh malah ada yang beratus-ratus. Masuk ward berhari-hari pun percuma saja sedangkan bagi mereka yang bukan warganegara untuk sehari saja sudah mencecah ratusan ringgit. Itu pun masih ada warganegara yang marah-marah staff kesihatan, masih ada yang membazir tidak makan ubat yang diberi padahal bukan murah kerajaan beli ubat itu semua. Ya tahu itu semua hasil duit cukai yang rakyat bayar tapi takkan kau mahu bazirkan duit cukai yang kau bayar kan? Jadi makcik pakcik yang ada darah tinggi dan kencing manis itu bila dibagi ubat tolonglah makan, bukan tinggalkan saja. Bila temu janji cek balik, tekanan darah dan gula dalam darah tinggi tahu pula takut tapi ubat tamau makan.

Tengok aku termembebel sudah.

Point aku sepanjang post ni satu saja, bersyukurlah kau lahir ada kerakyatan. Tidak kiralah negara mana sekali pun. Sebab ada golongan yang tidak bernasib baik, hidup tiada kerakyatan. Tidak tahu negara mana yang hendak dituju, terpaksa abaikan masa depan kerana tidak mampu mendapatkan pendidikan, terpaksa berkorban nyawa kerana kos untuk perkhidmatan kesihatan terlalu tinggi untuk mereka.

Bersyukurlah kita masih berpeluang untuk mendapat kemudahan pendidikan dan kesihatan yang diperlukan. Jangan sia-siakan sebab ada orang lain yang berharap dia dapat apa yang sedang kita nikmati sekarang.